Surah Al Baqarah Ayat 44

“Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaikan (memilih Islam), sedangkan kamu melupakan diri (kewajipan) kamu sendiri, padahal kamu membaca kitab? Tidakkah kamu berfikir?”

Saturday, August 27, 2011

Hamba Ramadhan atau Hamba Allah


Sedar atau tidak, kita sudahpun menghampiri penghujung Ramadhan, penghulu segala bulan. Selangkah demi selangkah Ramadhan meninggalkan kita dan akan digantikan dengan saudaranya, Syawal. Selama sebulan di dalam Ramadhan, kita berhempas pulas dengan ibadah sunat mahupun wajib. Berpuasa, bertadarus, bertilawah, bertarawih, bersedekah dan segala macam ibadah yang kita lakukan. Tapi adakah kita SEDAR, kerana apa kita lakukan sedemikian? Kerana Allah atau kerana 'adat' Ramadhan?

Bulan Ramadhan, solat 5 waktu mantap, Al - Quran setiap hari, qiamulaill hampir setiap malam. Cuba kita bandingkan dengan bulan - bulan yang lain? Adakah sama ibadat yang kita lakukan? Nauzubillah.. Ikhlas kah kita dengan Allah? Walhal, islam itu bukannya bermusim, bahkan ia adalah cara hidup. Islam itu setiap hari, setiap detik dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan. Bulan Ramadhan itu sebenarnya adalah 'platform' bulan tarbiyah supaya kita lebih kuat menghadapi godaan dan cubaan 11 bulan yang seterusnya. Bukannya ber'iman' di bulan Ramadhan tetapi bebas melakukan dosa selepas ia meninggalkan kita.

Alangkah ruginya bagi mereka yang cuma ber'iman' di bulan ramadhan, bahkan bukan di bulan yang lain. Dan teramatlah rugi bagi mereka yang langsung tidak mempedulikan ramadhan. Mereka berpuasa, tetapi langsung tidak mendapat apa - apa manfaat daripadanya melainkan lapar dan dahaga. Mereka berpuasa tetapi tetap melakukan dosa, mengumpat, memfitnah, tidak menutup aurat dan sebagainya. Apakah maknanya lagi Ramadhan?

Sesungguhnya, menjadi hamba Allah itulah yang sebenar - benar jalan. Bukan sahaja di bulan Ramadhan, tetapi setiap detik, kita adalah hambaNya. Ibadah di bulan Ramadhan itu, keluarkanlah ia di bulan - bulan yang lain. Teruskan beribadah tidak kira masa sehingga lah masa bukan lagi milik kita. Ikhlaskan lah hati, beribadahlah hanya kerana Allah. Berusahalah untuk menjadi yang lebih baik walaupun pahit. Kerana di sebalik kepahitan itu adalah ubat buat hati yang jahil, lalai, leka dan sentiasa memikirkan dosa.

Seribu kemaafan sendainya ada di sebalik ayat - ayat ini yang menyinggung hati. Sesungguhnya hanya ayat Allah sahajalah yang sempurna. Bahkan diri ini jahil dan sentiasa melakukan dosa. Dan peringatan ini tidak lain hanya untuk diri sendiri supaya lebih beringat apabila menyampaikan pada yang lain. InsyaAllah... Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.



Saturday, August 13, 2011

Asal dakwah, lembut atau keras?


Sesungguhnya asalnya ialah lembut dan keras itu ialah cabangnya. Pendakwah hendaklah menggunakan kelembutan dalam ucapan dan tingkah lakunya. Digalakkan bergurau sekadarnya dan jangan bergurau kecuali dalam perkara yg benar.

Tetapi, dakwah juga berhajat kepada kekerasan dalam sesetengah keadaan. Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam sentiasa bergaul mesra dengan Usamah bin Zaid Radiyyahu'anhuma. Tetapi ketika mengetahui Usamah telah membunuh seorang musuh yg telahpun melafazkan syahadah dan beliau menggunakan alasan bahawa si musuh hanya ingin menyelamatkan diri, Baginda telah menggunakan kekerasan. Baginda berkata kepadanya, "Adakah kamu telah membelah hatinya?" Sehinggakan diketahui isi hatinya...?

Kekerasan dalam dakwah ibarat ubat bukannya makanan. Ilmu psikologi membuktikan bahawa seseorang manusia apabila kerap kali dilayan dengan keras, kasar dan denda, dia akan hilang perasaan rasa bersalah, menjadi lali atau kebal dengan nasihat dan bersikap tidak peduli. Tetapi jika selalu dilayan dengan lembut lalu ada keadaan yg memaksa supaya dilayan dengan kekerasan, maka digunakan kekerasan, ini akan memberikan kesan yg mendalam terhadapnya.

Bahkan penggunaan ubat yg berlebihan tanpa mematuhi disiplin akan mendedahkan pesakit kepada sakit yg lebih dahsyat. Apatah lagi jika pendakwah menggunakan kekerasan sebagai makanan dan bukan sebagai ubat, ini akan menambahkan lagi penyakit orang yg ingin dirawatinya.



Sebahagian pula tertipu dengan menganggap kelembutan ialah kelemahan. Jauhilah anggapan keji ini. Nauzubillah.. Yang baik itu datang dari Allah, dan yang buruk itu dari diriku sendiri yang jahil dan berdosa...